ad
AGENSI

Tiga daerah di Selangor diramal banjir kilat jika hujan berterusan

11 Dis 2022, 8:43 AM
Tiga daerah di Selangor diramal banjir kilat jika hujan berterusan

SHAH ALAM, 11 DIS: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hari ini mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di Selangor melibatkan tiga daerah sekiranya hujan lebat berterusan.

Agensi menerusi Facebook memaklumkan daerah tersebut adalah Sepang, Petaling dan Klang yang dijangka berdepan keadaan itu dalam tempoh 24 jam.

Di Sepang, kawasan itu ialah mukim Sepang, mukim Dengkil dan kawasan sekitar.

Di Petaling pula melibatkan pekan Batu Tiga, bandar Shah Alam dan kawasan sekitar.

Sementara Klang, kawasan dimaksudkan pekan Pandamaran, pekan Kapar, Mukim Klang dan kawasan sekitar.

Agensi tersebut memaklumkan beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Perak turut diramal mengalami bencana sama.

Notis itu dikeluarkan bagi membolehkan orang ramai terutama penduduk di kawasan berisiko berwaspada dengan keadaan berkaitan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my , Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.