ad
AGENDA

Industri aeroangkasa terus berkembang, Selangor pilihan pelabur

30 Nov 2022, 8:17 AM
Industri aeroangkasa terus berkembang, Selangor pilihan pelabur

SHAH ALAM, 30 NOV: Bidang aeroangkasa terus berkembang di Selangor merangkumi 67 peratus daripada keseluruhan industri yang bertapak di negeri ini, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata peningkatan empat peratus daripada 63 peratus jumlah yang direkodkan tahun lalu merupakan kebanggaan dan kejayaan dalam usaha mengukuhkan negeri sebagai hab aeroangkasa.

“Kerajaan Negeri menyediakan pelan tindakan aeroangkasa 2020-2030 untuk memperkasakan industri ini. Kita melonjak daripada 63 peratus ke 67 peratus dan terus tinggalkan negeri lain.

“Kerajaan persekutuan mempunyai perancangan tertentu tetapi kita utamakan kekuatan kita. Kita melihat peluang sedia ada untuk membangunkan industri ini,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Banting Lau Weng San berhubung perkembangan industri penerbangan negeri.

Menjelang 2030, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).

Selangor turut menganjurkan Pameran Penerbangan Selangor bermula tahun lalu. Penganjuran tahun ini yang diadakan pada 8 hingga 10 September mencatat potensi nilai transaksi sebanyak RM1.06 bilion.

Invest Selangor selaku penganjur program memaklumkan acara tiga hari di SkyPark RAC, Subang itu menerima kehadiran seramai 10,563 orang, melebihi sasaran 8,000 pengunjung.

Pada 18 Mei 2022. Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyasarkan negeri ini menjadi pemain utama industri aeroangkasa di peringkat global pada 2030.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.