ad
AGENDA

Politik perkauman ancam perpaduan rakyat, AMK jawab Pemuda PN

30 Nov 2022, 5:12 AM
Politik perkauman ancam perpaduan rakyat, AMK jawab Pemuda PN

SHAH ALAM, 30 NOV: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menyifatkan politik perkauman dan fitnah yang digunakan parti tertentu mengancam perpaduan rakyat.

Ketuanya Izuan Kasim dalam kenyataan hari ini menegaskan politik sedemikian wajar ditolak berikutan ia bertentangan prinsip akhlak, nilai murni serta dasar pentadbiran negara.

"Politik bersifat dogmatik yang sempit ini jelas bakal mengundang risiko berlakunya polarisasi kaum dan mengancam perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional Selangor Mohamed Sukri Omar yang mendakwa negeri ini bukan lagi kubu kuat Pakatan Harapan berdasarkan keputusan pilihan raya umum ke-15.

Izuan juga mengingatkan anak muda di Selangor supaya tidak terpengaruh dengan politik perkauman dan fitnah sebaliknya berganding bahu memperkukuh pembangunan kebajikan di negeri ini.

"AMK Selangor akan terus komited dalam usaha membantu pimpinan Pakatan Harapan Selangor untuk kekal mempertahankan negeri Selangor demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.