ad
AGENDA

Tawar skim gaji atlet jalani latihan sepenuh masa, tumpu lonjak prestasi

23 Nov 2022, 6:39 AM
Tawar skim gaji atlet jalani latihan sepenuh masa, tumpu lonjak prestasi

SHAH ALAM, 23 NOV: Tawaran skim gaji untuk atlet berpotensi antara aspek dirancang Kerajaan Negeri supaya golongan itu menjalani latihan sepenuh masa, kata EXCO sukan.

Menurut Mohd Khairuddin Othman, insentif itu dikhususkan untuk sukan yang menawarkan lebih 15 pingat emas antaranya olahraga, renang, menembak, wushu dan berbasikal.

"Perbincangan lanjut bersama jurulatih dan persatuan sukan negeri akan diselaras untuk mengenal pasti elemen tambahan yang diperlukan bagi mencapai sasaran pingat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

"Penambahbaikan dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan prestasi Selangor melonjak dengan menumpukan semua yang akan dipertanding pada SUKMA nanti," katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab pertanyaan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei, Mohd Khairuddin berkata pendekatan sains sukan dan teknologi juga ditekankan sebagai sokongan bagi meningkatkan prestasi kontinjen.

Tambahnya, aspek kejurulatihan ditambah baik dengan mengenal pasti jurulatih sepenuh masa, sama ada tempatan mahupun luar negara yang mampu membawa atlet ke tahap global.

"Selain mengambil kira faktor pengalaman, semua jurulatih perlu mengguna pakai dan menerapkan sains sukan serta bantuan teknologi dalam program persediaan atlet," katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.