ad
AGENDA

Anggota polis baru jalani pembedahan semangat undi awal

15 Nov 2022, 4:40 AM
Anggota polis baru jalani pembedahan semangat undi awal

JOHOR BAHRU, 15 NOV: Meskipun baru lapan hari selesai menjalani pembedahan akibat komplikasi kencing manis, ia tidak melunturkan semangat seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di sini untuk menjalankan kewajipan mengundi awal hari ini.

Hadir berkerusi roda seawal 7.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Kamsun Syaib, 58, kelihatan bersemangat dengan berpakaian kemeja-T berlambangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya belum pernah lagi ketinggalan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi dan bersyukur masih berpeluang sekali lagi walaupun dalam keadaan kurang sihat.

"Saya rasa penting setiap rakyat Malaysia untuk tidak memandang ringan kewajipan kita yang menentukan masa depan negara," katanya.

Kamsun yang berkhidmat selama 34 tahun dalam PDRM berkata beliau sedih dengan sikap segelintir masyarakat terutama golongan muda yang memandang enteng tanggungjawab itu.

Beliau yang dibantu isteri dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menjadi antara anggota keselamatan terawal mengundi di sini.

Parlimen Johor Bahru menyaksikan penyandangnya Akmal Nasrullah Mohd Nasir daripada Pakatan Harapan berdepan tiga pencabar iaitu calon Barisan Nasional Johan Arifin Mohd Ropi, Mohd Mohtaj Yacob (Perikatan Nasional) dan Mohamad Akhiri Mahmood (Pejuang).

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.