ad
SELANGOR

Seruan khutbah Jumaat jadi panduan kempen calon HARAPAN Sungai Besar

13 Nov 2022, 12:29 AM
Seruan khutbah Jumaat jadi panduan kempen calon HARAPAN Sungai Besar

SUNGAI BESAR, 13 NOV: Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor yang menyeru calon bertanding pilihan raya umum ke-15 berkempen dengan adab, akhlak dan semangat ukhuwah yang digariskan Islam menjadi pedoman buat Saipolyazan M Yusop.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Besar itu yakin pendekatan memberi tawaran terbaik di samping tidak menyerang calon lawan adalah senjata terbaik bagi memenangi hati pengundi yang disifatkannya semakin bijak dan bermaklumat.

"Kita dengar khutbah Jumaat jelas menyeru berkempenlah secara berhemah. Kami jelas, Parti Keadilan Rakyat di sini bersama komponen HARAPAN tawarkan apa yang kami boleh buat, tidak menyerang, mengecilkan atau memomokkan calon lawan secara tidak sihat atau menyebarkan perkara tidak betul sebagainya.

"Kita sama membangun dan mahukan politik harmoni sebab kami kenal antara satu sama lain dan lebih lagi ada yang bersaudara sama ada melalui keturunan atau ikatan perkahwinan.

"Jadi kalau kami amal politik menyerang tentu tidak sihat untuk penduduk Sungai Besar. Kami tawarkan apa yang boleh kami beri," katanya kepada Selangorkini selepas solat jenazah di Masjid Nuruddiniah, Parit 2 Sungai Hj Dorani.

Terdahulu dalam khutbah Jumaat lalu menyeru supaya semua calon berkempen

menjauhi ucapan yang tidak baik seperti memaki hamun, mencerca, mendedahkan aib keperibadian seseorang dan mengawal lidah daripada ucapan serta perkataan nista dan dusta.

Selian itu khutbah Jumaat turut menasihati agar semua pihak menyemak dan meneliti kesahihan sesuatu berita dan fakta diterima sebelum disebarkan semasa berkempen.

"Ini kerana, terdapat banyak cerita yang disebarkan merupakan berita palsu yang

boleh mendatangkan kegelisahan kepada pengundi-pengundi.

"Lebih-lebih lagi, di zaman teknologi maklumat kini, kebanyakan kempen pilihan raya

akan melibatkan kempen menerusi media sosial yang berselindung di sebalik akaun palsu untuk kepentingan peribadi dan kelompok," menurut petikan khutbah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.