ad
AGENDA

Tiga beradik maut, seorang parah nahas di Lebuhraya Pantai Timur

12 Nov 2022, 8:31 AM
Tiga beradik maut, seorang parah nahas di Lebuhraya Pantai Timur

KUANTAN, 12 NOV: Tiga beradik maut manakala seorang lagi cedera apabila kenderaan dinaiki mereka dipercayai terbabas di Kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) arah barat di Maran hari ini.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata mereka yang maut ialah pemandu kereta, Siti Fatimah Yusry, 20, abangnya Ahmad Basyir, 27, dan Saiedah, 15, manakala seorang lagi adik mereka Adawiyah, 11, parah di kepala dan dirawat di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh.

“Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 7 pagi tadi selepas kereta dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan sebelah kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Norzamri berkata mereka yang beralamat di Kulai, Johor dalam perjalanan pulang ke rumah di negeri itu selepas menjemput Adawiyah yang belajar di pusat tahfiz di Jerantut.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada 8.10 pagi dan setibanya di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil.

“Dua daripada mangsa yang maut tersepit dalam kenderaan itu, jenazah mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan difahamkan dibawa ke Hospital Jengka, Maran untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.