ad
AGENDA

63 jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi sudah dibawa pulang

12 Nov 2022, 6:47 AM
63 jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi sudah dibawa pulang

PUTRAJAYA, 12 NOV: Semua 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu selamat dibawa pulang dengan kumpulan terakhir 23 jemaah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan kumpulan seramai 23 orang itu tiba pada jam 1.20 tengah hari menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH8023) dari Jeddah, Arab Saudi, selepas kumpulan pertama seramai 36 orang tiba 4 November 2022, diikuti kumpulan kedua seramai empat orang pada 7 November 2022.

“Urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas ini telah dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

“Kerajaan Malaysia juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu usaha ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Warganegara Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara.

Dalam kenyataan sebelum ini, Wisma Putra dan pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan 63 jemaah umrah negara ini yang terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

Menurut laporan media jemaah itu telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lepas.

Namun mereka hanya berada di Madinah dan tidak dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah selepas ketua kumpulan tarekat berkenaan diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lepas kerana dikatakan melanggar undang-undang tempatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.