ad
AGENDA

'Gombak dan Selangor takkan terpisah dari jiwa Amirudin'

4 Nov 2022, 6:55 AM
'Gombak dan Selangor takkan terpisah dari jiwa Amirudin'

GOMBAK, 4 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari menganggap Gombak sebati dengan dirinya berikutan beliau bersama-sama rakan seperjuangan sejak 2008 giat membela kepentingan penduduk setempat.

Calon HARAPAN bagi kerusi tersebut berkata persaudaraan erat sesama rakan dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan pelbagai lapisan rakyat menyebabkan HARAPAN bertapak kukuh sejak tiga penggal lalu.

Dato' Menteri Besar itu menambah beliau bergiat di Gombak berikutan pelawaan pemimpin KEADILAN untuk berjuang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves yang kini dikenali Sungai Tua.

"Ya, saya orang Johor. Saya sebut begini sebab sudah ada riak-riak mengatakan saya orang luar. Saya bukan orang Gombak. Hanya ‘dia’ lah Gombak sejati.

"Tetapi saya hendak beritahu, Gombak dan Selangor takkan terpisah dari jiwa Amirudin Shari,” katanya dalam majlis Himpunan Gombak Bermaruah dan Pelancaran Jentera HARAPAN parlimen itu di sini malam tadi.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan penyandang kerusi Dato' Seri Mohamed Azmin Ali yang mengaku sebagai "anak jati Gombak dan bukan orang Johor" baru-baru ini.

Amirudin bertanding bagi mempertahan kerusi yang dimenangi HARAPAN pada 2018 sebelum Azmin mengalih sokongan dan kini tertanding atas tiket Perikatan Nasional.

Calon Barisan Nasional Megat Zulkarnain Omardin dan Aziz Jamaludin Tahir dari Gerakan Tanah Air turut diumum bertanding kerusi berkenaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.