ad
AGENDA

Wanita warga emas rugi RM426,450 diperdaya Macau Scam

22 Okt 2022, 9:08 AM
Wanita warga emas rugi RM426,450 diperdaya Macau Scam

BATU PAHAT, 22 OKT: Seorang wanita warga emas kerugian sebanyak RM426,450 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terbabit dengan jenayah dadah dan menipu seorang bergelar 'Datuk Seri' .

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata mangsa berusia 73 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu Ogos lalu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis.

Katanya, lelaki tersebut memberitahu mangsa mempunyai hutang bank, yang mana kemudiannya panggilan berkenaan disambungkan kepada ‘Datuk Seri’, selain menyatakan mangsa turut terbabit dengan kes dadah.

“Lelaki itu kemudiannya menawarkan bantuan kepada mangsa untuk menyelesaikan kes dengan membuat pembayaran ke nombor akaun yang diberikan oleh individu berkenaan.

“Mangsa yang percaya dengan dakwaan itu dan membuat pembayaran sebanyak empat kali menerusi mesin deposit tunai dan sekali pembayaran dalam talian dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM426,450,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

"Pihak polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali dan orang ramai juga perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan jika mempunyai sebarang keraguan," katanya. -BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.