ad
AGENDA

Menteri sedia jumpa guru kena tindakan kerana suarakan masalah murid

16 Okt 2022, 8:24 AM
Menteri sedia jumpa guru kena tindakan kerana suarakan masalah murid

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin bersedia untuk berjumpa guru yang mendakwa telah menerima surat tatatertib berikutan tindakannya menyuarakan masalah silibus pembelajaran, isu beg berat dan bilangan murid yang ramai di dalam kelas.

Menerusi catatan di Facebook, Radzi berkata pertemuan berkenaan adalah bagi membolehkan beliau mengetahui perkara yang dibangkitkan guru berkenaan Mohd Fadli Mohamed Salleh, dengan lebih lanjut.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” katanya.

Mohd Fadli, guru Matematik di sebuah sekolah rendah di Gombak menerusi Facebooknya mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Beliau turut menyatakan bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

Bagaimanapun, menerusi hantaran terbaharunya, Mohd Fadli berkata beliau akan berjumpa dengan Radzi pada suatu masa nanti.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.