ad
AGENSI

PKNS rai usahawan muda, asah bakat niaga dari sekolah

14 Okt 2022, 5:53 AM
PKNS rai usahawan muda, asah bakat niaga dari sekolah

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 14 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus meraikan usahawan muda membabitkan pelajar sekolah menerusi program Promosi Jualan Tunas Niaga (PROTUNe) 2022.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata program pembudayaan keusahawanan kali ini disertai 141 pelajar daripada 147 sekolah menengah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Menurut Datuk Mahmud Abbas, acara tiga hari bermula semalam menawarkan pelbagai produk niaga seperti makanan dan minuman, perkhidmatan, pertanian, pakaian dan barangan kreatif.

"Lima sekolah dengan jualan tertinggi berpeluang menempatkan produk mereka di bangunan PKNS di sini selama dua minggu untuk jualan,“ katanya ditemui di kompleks PKNS di sini hari ini.

Beliau menambah program yang diperkenal sejak 1998 mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM21,000 pada hari pertama penganjuran, dengan sasaran RM200,000 sehingga esok.

PROTUNe adalah program usahawan melibatkan pelajar tingkatan satu, dua dan empat sekolah menengah seluruh negeri dengan peserta perlu menubuh dan mendaftar syarikat bawah PKNS.

Menerusinya, pelajar boleh menjalankan aktiviti perniagaan di sekolah masing-masing dengan diberi bimbingan serta latihan berterusan untuk meningkatkan kualiti mereka.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.