ad
AGENDA

Syor buang undi pada Sabtu, elak operasi sekolah terjejas

13 Okt 2022, 10:25 AM
Syor buang undi pada Sabtu, elak operasi sekolah terjejas

PUTRAJAYA, 13 OKT: Hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disyor diadakan pada Sabtu supaya pengoperasian sekolah tidak terjejas, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata pelaksanaan hari mengundi pada Sabtu akan memudahkan persiapan semua pihak terutama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Secara umumnya kita lihat (hari mengundi) pilihan raya dibuat pada hari minggu, kita harap begitulah pada kali ini supaya tidak jejaskan operasi sekolah.

“(Jika) buat hari Sabtu ia akan memudahkan kerana kalau hari Ahad lain pula kerana ada negeri-negeri yang bersekolah pada Ahad,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Le Tour de Langkawi (LTdL) Peringkat Ketiga Putrajaya-Genting Highlands di sini hari ini.

Radzi berkata demikian bagi mengulas pengoperasian sekolah sekiranya tarikh mengundi PRU15 ditetapkan pada hari persekolahan.

SPR sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRU14 pada Rabu.

Katanya, pihaknya juga akan berbincang dengan SPR mengenai penggunaan sekolah untuk PRU15 dan berharap suruhanjaya itu mengambil maklum perkara berkenaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.