ad
AGENDA

Bajet 2023: Kerajaan bina sekolah di Cyberjaya dan Shah Alam

7 Okt 2022, 10:04 AM
Bajet 2023: Kerajaan bina sekolah di Cyberjaya dan Shah Alam

SHAH ALAM, 7 OKT: Dua sekolah akan dibina di Selangor menerusi sebahagian peruntukan pendidikan dalam Bajet 2023, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menjelaskan pembinaan itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya 2, Cyberjaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Denai Alam, Shah Alam.

Selain Selangor, tiga lagi negeri yang turut menerima manfaat sama ialah Terengganu (SK Paya Dusun), Sabah (SMK Nabalu) dan Sarawak (SMK Dudong).

"Bagi memenuhi keperluan penduduk setempat, Kerajaan akan membina lima sekolah baharu membabitkan kos RM430 juta," katanya ketika membentang Bajet 2023 di Parlimen hari ini.

Zafrul berkata Kementerian Pendidikan menerima peruntukan RM55.6 bilion, tiga penerima peruntukan terbesar Bajet 2023 selain Kementerian Kewangan (RM72.2 bilion) dan Kementerian Kesihatan (RM36.1 bilion).

Beliau juga menambah Bajet 2023 menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM372.3 bilion berbanding RM332 bilion (2022) dan RM322 bilion (2021).

Katanya, sebanyak RM272.3 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM95 bilion bagi pembangunan selain RM5 bilion bawah Kumpulan Wang Covid-19 dan RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.