ad
BERITA UTAMA

Terima permintaan tinggi, Selangor tambah dana RM500,000 untuk I-Seed

20 Sep 2022, 12:19 AM
Terima permintaan tinggi, Selangor tambah dana RM500,000 untuk I-Seed

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kerajaan Negeri memberi peruntukan tambahan RM500,000 bagi program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-Seed) pada tahun ini.

EXCO Pembangunan Sosio-Ekonomi V Ganabatirau berkata secara keseluruhan sebanyak RM1.5 juta disalurkan Kerajaan Selangor pada 2022 berbanding hanya RM1 juta tahun lalu.

"Secara dasar setahun hanya RM1 juta sahaja tetapi permintaan dan permohonan sangat tinggi jadi Kerajaan Negeri menambah peruntukan RM500,000 lagi pada tahun ini.

"Saya percaya jumlah peruntukan ini akan ditambah lagi pada tahun hadapan," katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini semalam.

Beliau berkata pada tahun ini sebanyak 211 penerima telah menerima bantuan dan dijangka lebih 300 usahawan bakal menerima bantuan peralatan dalam tempoh terdekat.

Program I-Seed dilancar pada 7 April tahun lalu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian bantuan peralatan bergantung kepada perniagaan yang mereka usahakan.

Antara syarat kelayakan adalah rakyat Selangor atau bermastautin lebih 10 tahun, individu dan seisi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan perniagaan mesti beroperasi di negeri ini.

Selain itu, perniagaan perlu aktif dan konsisten, pemohon atau pasangan (suami/isteri) tidak pernah menerima bantuan peralatan di bawah program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor atau program Dana Usahawan Mikro Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.