ad
AGENDA

11 lagi mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja dibawa pulang

16 Sep 2022, 1:07 AM
11 lagi mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja dibawa pulang

PUTRAJAYA, 16 SEPT: Seramai 11 orang lagi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan warganegara Malaysia di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 11.55 malam tadi.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat semalam, seramai 123 daripada 153 orang mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah berjaya diselamatkan.

"Kementerian merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Kemboja melalui pihak berkuasa negara itu atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa.

"Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh akan terus komited dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Kemboja untuk mengesan serta menyelamatkan mangsa bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, individu atau waris kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara boleh berhubung secara terus dengan Kementerian Luar melalui Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara menerusi e-mel [email protected].

"Selain itu, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh juga boleh dihubungi melalui e-mel [email protected] sekiranya terdapat individu atau waris yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja," menurut Kementerian Luar.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.