ad
AGENDA

Sultan sokong Agong, pengampunan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya

12 Sep 2022, 5:33 AM
Sultan sokong Agong, pengampunan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya

SHAH ALAM, 12 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyokong titah Yang di-Pertuan Agong bahawa kuasa pengampunan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

Sebaliknya, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah proses tersebut perlu mengikut lunas undang-undang dan tatacara diperuntuk bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya.

"Sukacita beta menzahirkan sokongan padu terhadap titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 5 September 2022 berkaitan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

"Rakyat perlu memahami proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang diperuntuk bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya," titah Baginda.

Isu pengampunan timbul berikutan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kuasa menghukum dan pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya.

Baginda bertitah undang-undang yang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil menyebabkan penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.

“Kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, nescaya keadilan tidak akan tercapai kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda,” titah Baginda.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.