ad
AGENDA

Manfaat cuti sekolah bawa anak ke SAS 2022, pupuk minat industri aeroangkasa

10 Sep 2022, 10:59 AM
Manfaat cuti sekolah bawa anak ke SAS 2022, pupuk minat industri aeroangkasa
Manfaat cuti sekolah bawa anak ke SAS 2022, pupuk minat industri aeroangkasa
Manfaat cuti sekolah bawa anak ke SAS 2022, pupuk minat industri aeroangkasa
Manfaat cuti sekolah bawa anak ke SAS 2022, pupuk minat industri aeroangkasa

SHAH ALAM, 10 SEPT: Ibu bapa memanfaatkan cuti persekolahan untuk membawa anak-anak melihat pelbagai pengangkutan udara di Pameran Udara Selangor 2022 (SAS 2022).

Tiffany Yee Lui, 38 dari Putra Height berkata beliau tiba di pameran tersebut seawal 9 pagi bersama suami dan dua anaknya berusia sembilan dan lima tahun.

[caption id="attachment_539449" align="aligncenter" width="500"] Tiffany Yee Lui (kiri) bersama keluarga dan rakan beliau Wong Yee Wen (kanan) menghadiri Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

“Saya dan suami membawa anak-anak supaya mereka dapat melihat sendiri kepelbagaian pengangkutan udara seperti kapal terbang, helikopter dan pesawat peribadi.

“Anak-anak sangat teruja dengan pameran pesawat ini kerana dapat lihat dengan lebih dekat. Malah, proses pendaftaran di terminal juga mudah,” katanya kepada SelangorKini.

Jurutera Simulasi Penerbangan T S Yogeswaran,49, berkata beliau mengambil peluang membawa anak tunggalnya Y Sarvysswharrann berusia 10 tahun ke pameran itu kerana tidak dapat berbuat demikian pada tahun lalu.

[caption id="attachment_539450" align="aligncenter" width="500"] T S Yogeswaran(kiri) bersama keluarga menghadiri Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

“Anak saya sejak dua tahun sudah menunjukkan minat mendalam dalam bidang aeroangkasa. Dengan adanya pameran seperti ini dapat menggalakkannya untuk terus mendalami bidang ini.

“Sarvysswharrann minat dalam teknologi kapal terbang dan menyatakan sendiri untuk datang ke pameran ini,” katanya.

Pekerja swasta Mazila Mat Arus,35, berkata beliau hadir membawa dua anak buahnya ke pameran ini kerana ibu bapanya tidak dapat hadir kerana ada urusan kerja.

[caption id="attachment_539452" align="alignleft" width="299"] Mazila Mat Arus[/caption]

“Mereka memaklumkan awal untuk ke pameran ini dan saya daftarkan nama mereka pada 5 September. Alhamdulillah, pendaftaran berjalan lancar dan mereka dapat melihat pelbagai pesawat.

“Malah, mereka terlalu teruja sehingga kepenatan dan saya terpaksa berhenti rehat seketika dan berpeluang bersemuka dengan pelakon filem Air Force The Movie,” katanya.

SAS 2022 berlangsung di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark (Skypark RAC), di sini bermula kelmarin sehingga hari ini bertujuan membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri dan mendedahkan orang ramai dalam penerbangan.

Sebanyak 56 syarikat terlibat pada tahun ini melibatkan 63 pempamer dari sembilan negara iaitu Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Nigeria, Czech Republik, United Kingdom dan Malaysia.

Edisi pertama SAS diadakan pada 25 hingga 27 November tahun lalu menarik pelaburan sehingga RM100 juta dengan 12 memorandum persefahaman (MoU) bersama subsektor industri aeroangkasa dimeterai.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.