SHAH ALAM, 10 SEPT: Seramai 61 pelajar yang melanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan termasuk dua pengiring menerima sumbangan tambahan tiket penerbangan RM64,274 daripada Kerajaan Negeri, hari ini.
Menerusi sumbangan berkenaan, setiap pelajar menerima RM1,000 yang disampaikan Dato’ Menteri Besar melalui bahagian pendidikan Islam Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
“Saya dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan kita sedar tentang peningkatan harga tiket serta keperluan lain yang dihadapi pelajar.
“Melalui jabatan agama Islam telah diluluskan RM1,000 tambahan kepada pelajar-pelajar dan pengiring untuk tambang penerbangan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
[caption id="attachment_539428" align="aligncenter" width="696"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pelajar dalam majlis perasmian penutupan Persediaan Pelajar ke Luar Negara di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Negeri, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]
Terdahulu beliau merasmikan majlis penutupan Kursus Persediaan Pelajar Selangor Ke Luar Negara anjuran Jais.
Berlangsung di Institut Latihan dan Dakwah Selangor, kesemua pelajar berkenaan mengikuti kursus selama sebulan sebelum berlepas ke Mesir dan Jordan dalam tempoh terdekat bagi melanjutkan pengajian.