ad
AGENDA

MKN edar lebih 1,000 Jalur Gemilang di Pulau Ketam

8 Sep 2022, 8:45 AM
MKN edar lebih 1,000 Jalur Gemilang di Pulau Ketam

PELABUHAN KLANG, 8 SEPT: Suasana pagi di sekitar jeti dan kawasan perumahan Pulau Ketam, di sini hari ini meriah dengan bunyi paluan gendang dan gong serta dentingan simbal oleh kumpulan tarian singa yang disertai perarakan kibaran Jalur Gemilang.

Perarakan itu berjaya menarik tumpuan orang ramai untuk menyertai Program Semarak Hari Malaysia bersama komuniti Pulau Ketam sempena Bulan Kebangsaan 2022 yang dianjurkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor.

Sepanjang perarakan itu, lebih 1,000 Jalur Gemilang diedar pihak MKN kepada pemilik premis perniagaan, komuniti serta pelancong di sekitar perkampungan nelayan tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik) MKN Zamri Misman berkata program itu dilaksanakan bagi mengukuhkan semangat cintakan negara.

“Selain itu, kita sama-sama menjaga keselamatan negara ini dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai sebarang perbuatan salah dan aktiviti jenayah.

“Ini kerana, keselamatan negara adalah tanggungjawab kita bersama. Inilah inti pati Dasar Keselamatan Negara 2021-2025,” katanya dalam ucapan perasmian program tersebut di sini hari ini.

Ketua Kampung Bagan Chua Kim Lin berkata selaku wakil penduduk, pihaknya bangga apabila kampung tersebut terpilih untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2022.

“Kami gembira diberikan peluang kali pertama meraikan sambutan secara besar-besaran seperti ini bersama anda semua,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, program dengan kerjasama termasuk Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia turut mengedarkan bendera Malaysia kepada pemilik bot nelayan di sekitar perairan jeti penumpang Pulau Ketam.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.