ad
AGENDA

28 atlet Selangor sumbang pingat di Sukan SEA, Komanwel terima hampir RM100,000

6 Sep 2022, 9:36 AM
28 atlet Selangor sumbang pingat di Sukan SEA, Komanwel terima hampir RM100,000
28 atlet Selangor sumbang pingat di Sukan SEA, Komanwel terima hampir RM100,000

KLANG, 6 SEPT: Seramai 28 atlet Selangor menerima insentif khas RM92,900 daripada Kerajaan Negeri hari ini susulan kejayaan mereka menyumbang pingat buat Kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Hanoi dan Sukan Komanwel Birmingham.

Pemberian sumbangan kepada kesemua atlet berkenaan disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor di Istana Alam Shah di sini.

Mengiringi Tengku Amir Shah menyampaikan insentif tersebut Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi.

Amirudin ketika berucap memaklumkan sejumlah RM59,900 diperuntuk untuk atlet Sukan SEA manakala baki RM33,000 pula untuk atlet Sukan Komanwel.

"Dengan adanya penghargaan seperti ini dapat memberi dorongan dan inspirasi kepada semua penggiat sukan yang lain untuk terus gigih dalam meningkatkan prestasi supaya mampu bersaing di peringkat yang tertinggi.

"Komitmen dan kerjasama diberi amat dihargai dan semoga sokongan akan berterusan pada masa hadapan dengan satu matlamat iaitu mengekalkan Selangor sebagai negeri peneraju kecemerlangan sukan," katanya.

[caption id="attachment_538887" align="aligncenter" width="689"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diiringi oleh Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari memberi kata-kata semangat kepada atlet Selangor ketika Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Selangor ke Sukan Sea dan Sukan Komanwel 2022 di Istana Alam Shah, Klang pada 6 September 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Dalam Sukan SEA Hanoi, seramai 62 daripada 612 atlet negara merupakan atlet Selangor dengan 27 daripadanya menyumbang pingat sekali gus membantu kontijen Malaysia meraih 39 emas dan menduduki tempat keenam.

Bagi Sukan Komanwel Birmingham pula, sebanyak dua pingat emas dan satu pingat perak disumbangkan atlet Selangor yang menyaksikan Kontinjen Malaysia menduduki tempat kesepuluh daripada 43 negara yang mengambil bahagian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.