ad
BERITA UTAMA

32 kapal persiaran singgah terminal Pelabuhan Klang sejak 1 Julai

5 Sep 2022, 8:17 AM
32 kapal persiaran singgah terminal Pelabuhan Klang sejak 1 Julai

KLANG, 5 SEPT: Sebanyak 32 kapal persiaran yang membawa 73,924 penumpang singgah di terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) sejak beroperasi semula pada 1 Julai lalu.

Pengerusi PKCT Dato' Azman Shah Mohd Yusof berkata ketibaan kapal dan penumpang membuktikan kebangkitan semula industri pelancongan pelayaran selepas terhenti dua tahun akibat pandemik Covid-19.

"Ketibaan Spectrum of the Seas yang dimiliki Royal Caribbean International merupakan satu peristiwa penting, manakala pada 4 Julai lalu Resort World Cruises memulakan 'home porting' di PKCT dengan kapal persiarannya, Genting Dream.

"Ini sesuatu yang boleh dibanggakan kerana mendapat sambutan luar biasa daripada pelancong tempatan," katanya dalam sembah ucapan perasmian PKCT di Pulau Indah, Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam pada itu, Azman Shah berkata pihaknya merancang menaik taraf kemudahan terminal termasuk menambah dermaga untuk menampung lebih ramai penumpang dan singgahan kapal persiaran.

"Di bawah pemilikan dan pengurusan baharu, PKCT akan menggalakkan pertumbuhan dalam sektor pelayaran dan pembangunan Pelabuhan Klang secara keseluruhannya.

"Impian kami adalah untuk menjadikan PKCT sebagai pemangkin pertumbuhan industri pelancongan negara dan pemacu ekonomi Selangor," katanya lagi.

PKCT menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pelabuhan untuk kapal persiaran serta kapal armada tentera laut di kawasan seluas 69.8 ekar.

Terminal lima tingkat itu dilengkapi ruang berhawa dingin, jambatan penghubung untuk naik dan turun kapal selain laluan pejalan kaki berbumbung yang menghubungkan antara dermaga serta terminal.

Turut disediakan ialah mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kaunter pertukaran wang asing, kedai serbaneka, kedai cenderamata dan hadiah serta kedai bebas cukai.

Selain itu, terdapat kawasan pameran Mah Meri, pusat maklumat pelancong yang dibina Tourism Selangor dan ruang letak kereta.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.