ad
AGENDA

Wanita HARAPAN gerak siri jelajah, persiap jentera depani PRU15

5 Sep 2022, 4:20 AM
Wanita HARAPAN gerak siri jelajah, persiap jentera depani PRU15

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kepimpinan Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan beberapa resolusi untuk menyatukan seluruh kekuatan jentera bagi mendepani pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketua penerangannya berkata usaha meliputi menganjurkan siri jelajah di seluruh negara, mengadakan konvensyen pada peringkat nasional selain memeterai dan melancarkan Agenda Wanita Malaysia.

Menurut Soraya Salim, kepimpinan turut meyakini dan beriltizam untuk meningkatkan perwakilan wanita dalam politik supaya pembangunan Malaysia lebih rahmah dan berdaya saing.

Katanya, majlis pimpinan juga akan memperkasa struktur dan fungsinya pada peringkat nasional dan negeri dan meningkatkan perlindungan hak, jaminan kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat.

"Wanita HARAPAN sepakat memperbaharui tekad dalam merangkum fungsi, kekuatan dan peranan wanita parti-parti gabungan HARAPAN sebagai suatu pasukan mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Majlis Pimpinan Wanita turut bersetuju memperkemas struktur sebagai manifestasi kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik selaras perubahan politik semasa.

Jelasnya, kemas kini itu bakal memberi nafas baharu dalam pembudayaan politik nilai dan idea, mendidik dan khidmat untuk membebaskan negara daripada propaganda dan kebencian kaum.

"Wanita HARAPAN terus komited menggembleng kebangkitan total rakyat bagi memerdekakan negara daripada cengkaman kerakusan elit politik yang digelumangi rasuah untuk memenangi PRU15.

"(Ini) sekali gus mencetus perubahan politik negara ke arah pemerintahan bermaruah, demokratik, adil dan inklusif," kata Soraya lagi.

Berikut struktur kepimpinan Wanita HARAPAN yang dikemas kini:

1. Ketua: Aiman Athirah Sabu

2. Timbalan ketua: Chong Eng, Fadhlina Sidek dan Juliana Janni

3. Naib ketua: Nor Hayati Bachok, Juwairiya Zulkifli dan Alice Lau

4. Ketua setiausaha: Teo Nie Ching

5. Timbalan ketua setiausaha: Norhayati Bidin

6. Bendahari: June Leow

7. Ketua penerangan: Soraya Salim

8. Pengarah komunikasi: Yeo Bee Yin

9. Pengarah pilihan raya: Rozita Abdul

10. Pengarah latihan: Sangetha Jayakumar

11. Biro media & IT: Loh Ker Chean

12. Biro dasar awam: Kasthuriraani Patto

13. Biro mobilisasi: Anfaal Saari

14. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat & Keterangkuman Gender, Majlis Presiden HARAPAN: Hannah Yeoh

15. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat & Keterangkuman Gender, Majlis Presiden HARAPAN: Fadhlina Sidek

 

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.