AMPANG JAYA, 27 OGOS: Belanjawan Selangor 2023 yang dijadual dibentangkan pada 25 November depan mungkin diawalkan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sedang mempertimbangkan perkara tersebut susulan keputusan Putrajaya mengawalkan tiga minggu pembentangan belanjawan kepada 7 Oktober.
“Tarikh kita 25 November, mungkin kita boleh awalkan sedikit mungkin pada awal November atau akhir Oktober, kita akan maklumkan kemudian,” katanya.
Amirudin ditemui pada Hari Belia Selangor peringkat Gombak yang diadakan di pekarangan Melawati Mall di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada Selangor berhasrat mengikut langkah kerajaan persekutuan membentangkan Belanjawan 2023 lebih awal berbanding jadul asal.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan Belanjawan 2023 akan dibentangkan pada 7 Oktober, tiga minggu lebih awal daripada yang dijadualkan sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menafikan pertukaran tarikh baharu itu ada kaitan dengan pilihan raya umum yang dijangka diadakan tahun ini.