SHAH ALAM, 27 OGOS: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan keadaan pimpinan perdana menteri sekarang yang dilihat 'terhoyong-hayang' bertindak mengikut selera kelompok tertentu dalam parti.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata kerajaan memerlukan mandat yang kuat dan stabil supaya pemerintah baharu boleh menumpukan perhatian melakukan reformasi dalam pebagai perkara.
"Kita perlukan mandat yang kuat untuk memastikan tatakekola kerajaan yang baik serta menghapuskan rasuah bukan cara terpilih, kerana ada pemimpin yang dipenjara tetapi soal ketirisan dan rompakan masih berterusan.
"Kita perlu melaksana reformasi pendidikan, kemudahan kesihatan dan aspek teknologi pintar. Kita juga ada masalah yang kian berat mengenai alam sekitar dan banjir yang berlaku dua hingga tiga kali setahun," katanya menerusi perkongsian video di Facebook, hari ini.
Anwar berkata keputusan perdana menteri mengawalkan tiga minggu pembentangan belanjawan kepada 7 Oktober menunjukkan negara mempunyai seorang pemimpin tidak kuat dan di bawah telunjuk pemimpin tertentu dalam Umno.
"Keputusan ini seperti terburu-buru, seperti tahun sebelumnya perlu ada rundingan dengan HARAPAN sebelum belanjawan dibentang seperti hal percukaian, ketelusan dan kebertanggungjawaban perbelanjaan," katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan pentadbiran lemah seperti kerajaan sekarang tidak mungkin mampu menyelesaikan masalah rakyat terutama kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Saya berharap rakyat dapat bersama-sama untuk bangkit menuntut perubahan serta melaksanakan reformasi menyeluruh. Semoga Allah memberi kita petunjuk dan menyelamatkan rakyat dan negara," katanya.








