ad
AGENDA

Kesedaran masih rendah, 49,103 individu kerja sendiri belum carum Perkeso

24 Ogos 2022, 4:28 AM
Kesedaran masih rendah, 49,103 individu kerja sendiri belum carum Perkeso

SHAH ALAM, 24 OGOS: Seramai 49,103 individu yang bekerja sendiri di negeri ini masih belum mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Selangor Zainol Abu menganggap jumlah itu masih rendah berbanding sasaran 120,000 individu yang mencarum dalam skim tersebut tahun ini, lapor Sinar Harian.

Beliau menjelaskan antara faktor menyebabkan golongan itu tidak mencarum ialah tiada pengetahuan dan kurang kesedaran jika ditimpa kemalangan ketika bekerja.

"Kita beranggapan kesedaran dalam kalangan pekerja sendiri untuk mencarum Perkeso masih rendah dan pekerja perlu diberi galakan untuk mengambil kesempatan bagi menikmati manfaat yang disediakan.

"Skim ini penting bagi membolehkan pekerja mendapat perlindungan daripada bencana termasuk penyakit daripada pekerjaan dan kemalangan semasa bekerja," katanya.

Menurut Zainol, seramai 70,987 pencarum sudah mendaftar tahun ini di Selangor dengan jumlah keseluruhan 359,531 orang sejak skim itu dilaksanakan pada 2017.

Jelasnya, sektor pengangkutan barang dan makanan merekodkan jumlah tertinggi seramai 182,393 pencarum manakala perikanan (35,259) dan pengangkutan penumpang (20,906).

Maklumat lanjut berkenaan skim itu boleh didapati melalui pautan https://matrix.perkeso.gov.my atau terus ke cawangan Perkeso berhampiran.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.