ad
AGENDA

Buruh 60 tahun, teman wanita ditahan dera anak perempuan OKU

21 Ogos 2022, 8:10 AM
Buruh 60 tahun, teman wanita ditahan dera anak perempuan OKU

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Sepasang kekasih ditahan selepas disyaki mendera wanita Orang Kurang Upaya (OKU) masalah saraf di sebuah rumah di Lembah Jaya Selatan, Taman Sri Intan Ampang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Mohamad Farouk Eshak berkata wanita OKU berusia 31 tahun itu merupakan anak kepada seorang lelaki berumur 60 tahun yang ditahan bersama kekasihnya berumur 47 tahun pada 8.30 malam.

“Tangkapan dibuat selepas menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Ampang yang menerima pesakit iaitu mangsa yang dibawa oleh ambulans dari tempat kejadian selepas dilaporkan terjatuh oleh ahli keluarganya pada 12 tengah hari.

“Hasil rawatan mendapati ada beberapa kesan kecederaan yang mencurigakan seperti lebam di bahagian mata kanan mangsa disyaki dipukul dan ditumbuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata beberapa objek seperti kayu penyapu, penyangkut baju dan kayu mop disyaki digunakan untuk mendera mangsa turut dirampas.

Beliau berkata bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh dan teman wanitanya yang tidak bekerja itu tiada rekod jenayah serta saringan ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif.

"Kedua-dua individu direman empat hari bermula hari ini hingga 24 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.