SHAH ALAM, 21 OGOS: Seorang ibu mengendong bayinya berusia empat bulan selain tiga lagi anak memanjat bumbung rumah susulan rumah meraka dinaiki air akibat hujan lebat semalam.
Hairul Badariah Zakariah, 39, dari Kampung Laut Batu, Skudai, Johor bertindak demikian kerana terlalu cemas apabila paras air meningkat dengan pantas, lapor Berita Harian.
"Kita tengok air surut pada mulanya, kita tak sangka macam itu sekali. Tiba-tiba air cepat naik dan makin laju, kita pun gelabah.
"Suami tiada di rumah masa kejadian, jadi saya seoranglah naik ke atas tangga bawa anak-anak," katanya.
Semalam hujan lebat berlaku melebihi dua jam menyebabkan beberapa rumah di Skudai dinaiki air kira-kira pukul 3 petang.
Bernama melaporkan seramai 43 penduduk Kampung Laut Batu 10 dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10 selepas rumah mereka dinaiki air.