ad
AGENDA

MSN: Persediaan venue SUKMA cecah 95 peratus

20 Ogos 2022, 7:57 AM
MSN: Persediaan venue SUKMA cecah 95 peratus

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Persediaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 MSN 2022 berada pada landasan tepat apabila 95 peratus venue sudah bersiap sedia untuk menganjurkan temasya itu bermula 16 hingga 24 September depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Suhardi Alias berkata pada masa ini hanya tinggal sedikit kerja penambahbaikan yang perlu diselesaikan menjelang 27 hari sebelum temasya itu membuka tirai.

“Hanya beberapa kerja menaik taraf dan penambahbaikan dari sudut hiasan yang perlu dibuat, itu pun tidak melibatkan banyak venue. Selainnya kita bersedia selepas mendapat kerjasama daripada kementerian lain dan pihak berkuasa tempatan.

“Kebanyakan venue dimiliki MSN sendiri dan kerajaan negeri, jadi tidak melibatkan banyak perbelanjaan. Kita nak pastikan SUKMA ini dapat dilaksanakan dengan perbelanjaan minimum, jadi ini akan meningkatkan minat negeri untuk menganjurkan SUKMA,” katanya ketika ditemui pada majlis undian sukan berpasukan Sukma di MSN hari ini.

Kebanyakan venue bagi edisi ke-20 SUKMA melibatkan empat zon sekitar Lembah Klang – Kuala Lumpur, Bangi (termasuk Nilai dan Putrajaya), Bukit Jalil dan Shah Alam – manakala hanya pelayaran dianjurkan di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi.

Menurut jadual semasa, majlis perasmian pembukaan dan penutup akan diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi masing-masing pada 17 dan 24 September. - BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.