ad
AGENDA

Selangor, Negeri Sembilan cadang bangun hab industri penerbangan

28 Jul 2022, 3:35 AM
Selangor, Negeri Sembilan cadang bangun hab industri penerbangan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Selangor mungkin bekerjasama dengan Negeri Sembilan untuk membangunakan hab industri penerbangan antara sempadan kedua-dua negeri pada masa depan.

EXCO Perindustrian Dato' Teng Chang Khim berkata perbincangan tidak formal telah dibuat sebelum ini bersama EXCO negeri berkenaan bagi membincangkan perkara tersebut.

Namun, jelasnya, beberapa isu perlu dititikberatkan antaranya sambungan pusat selenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) yang jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Ada pertukaran fikiran dan pandangan antara saya dan EXCO Negeri Sembilan untuk kolaborasi cuma setakat ini belum ada perbincangan secara serius.

"Pandangan saya ada kekuatan di Negeri Sembilan kerana nilai tanahnya rendah dan kos mendirikan kilang di sana rendah bersebelahan Selangor," katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri berhubung kolaborasi antara kedua-dua negeri untuk mewujudkan hab industri penerbangan di kawasan sempadan.

Terdahulu, Chang Kim berkata Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan sedang meneliti langkah mendalam untuk merancakkan semula industri aeroangkasa pascapandemik Covid-19.

Menurutnya, antara strategi diambil ialah pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentangkan semalam, yang turut menumpukan sektor berkenaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.