BALING, 21 JULAI: Kerajaan Selangor bersedia memberi bantuan lain yang diperlukan mangsa bah di Baling terutama melibatkan mereka yang kehilangan rumah.
EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah berkata cadangan berhubung perkara itu akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan datang.
"Saya difahamkan ada beberapa pihak mahu membantu termasuk Lembaga Zakat Selangor. Oleh demikian, kita akan bawa dan bincang isu ini apa bantuan lain yang boleh dibantu untuk mangsa bah
"Menerusi taklimat pagi tadi, Pejabat Daerah dan Tanah Baling memaklumkan 17 kediaman dikenal pasti musnah dalam insiden banjir awal Julai lalu," katanya.
Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan kepada 163 penduduk terkesan bah di Surau An-Nur Taman Mesra Kupang di sini yang turut disampaikan EXCO Perumahan Rodziah Ismail.
Sebanyak 72 rumah mangsa banjir di Baling, Kedah dibersihkan pasukan sukarelawan negeri ini sepanjang dua hari misi pascabanjir tersebut.
Misi kali kedua itu turut disertai 150 anggota Skuad Pasukan Tindakan Segera (Pantas) dari 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), Sukarelawan Selangor dan Team Selangor.
Pada 6 Julai, misi pertama disertai 262 anggota PBT dan sukarelawan membantu membersihkan puluhan kediaman mangsa banjir dengan 90 tan sampah pukal dikeluarkan dari kawasan tersebut.
Hujan lebat hampir tiga jam di Baling pada 4 Julai lalu menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki kediaman penduduk berdekatan dan mengorbankan tiga individu termasuk wanita hamil.
[caption id="attachment_531360" align="aligncenter" width="500"] Mangsa banjir menerima barangan keperluan asas yang disampaikan sukarelawan Team Selangor sempena Misi Selangor Penyayang 2.0 di Surau An Nur Taman Mesra Kupang, Baling, Kedah pada 21 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]