ad
AGENDA

Wan Azizah ingatkan ahli KEADILAN jaga adab, elak bermusuh sesama sendiri

15 Jul 2022, 3:08 AM
Wan Azizah ingatkan ahli KEADILAN jaga adab, elak bermusuh sesama sendiri

SHAH ALAM, 15 JULAI: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berpegang teguh kepada adab meskipun bersaing sesama sendiri dalam pemilihan lalu.

Dengan nada sebak, pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN berkata menang atau kalah adalah adat pertandingan namun semua ahli perlu menjaga akhlak, kesopanan, nilai integriti dan maruah.

“Saya biasa kalah tetapi tidak bermaksud saya memusuhi (lawan). Semua ahli adalah keluarga. Pemilihan sudah berakhir, ini masa untuk kembali merangkul kekuatan dan terus konsisten dengan perjuangan asal.

“Kita tidak bermusuh. Kita parti yang sama. Kalau hendak tinggalkan, pergilah tetapi jangan jadi musuh dalam selimut, api dalam sekam. Jangan hancurkan apa yang kita bina sama-sama,” katanya.

Berucap ketika merasmikan Kongres Wanita sempena Kongres Nasional ke-16 KEADILAN di sini hari ini, bekas timbalan perdana menteri turut mengingatkan ahli supaya tidak mengamalkan sikap eksklusif.

Wan Azizah menegaskan budaya berpuak-puak dalam membawa perjuangan parti juga perlu dielakkan selain berharap ahli mengamalkan sikap istiqamah dan konsisten berpanjangan.

“Dengan semangat inilah kita mahu seluruh ahli sentiasa bersikap terbuka, memiliki kebesaran jiwa dan menguasai adab berkhilaf pandangan yang menjadi teras dalam budaya dialog dan rundingan serta konsep syura,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.