ad
AGENDA

Negeri salur bantuan kewangan mangsa bah di Baling dalam tempoh terdekat

11 Jul 2022, 8:59 AM
Negeri salur bantuan kewangan mangsa bah di Baling dalam tempoh terdekat

GOMBAK, 11 JULAI: Bantuan kewangan Kerajaan Selangor kepada mangsa insiden kepala air dan banjir di Baling, Kedah akan diberikan dalam tempoh terdekat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata proses itu dilakukan selepas kerja pembersihan selesai dan pihaknya juga sudah memutuskan jumlah tertentu untuk disalurkan kepada mangsa.

"Kerajaan Negeri sudah putuskan satu angka, kita selesaikan dulu kerja pembersihan dan nanti kita akan berikan kepada pihak terbabit," katanya ketika ditemui pada Qurban Perdana di Sungai Tua di sini, hari ini.

Amirudin pada 6 Julai lalu berkata Selangor sedia pertimbang bantuan kewangan kepada penduduk di Baling Kedah yang terkesan dengan insiden kepala air dan banjir.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan pada hari yang sama.

Kerajaan Selangor pernah menyumbang bantuan RM100,000 kepada Kerajaan Kedah bagi membantu mangsa banjir lumpur di Yan, Kedah pada Ogos tahun lalu.

Sumbangan itu disampaikan sendiri Amirudin kepada EXCO Sumber Manusia Kedah Brigedier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad ketika mengadakan lawatan ke lokasi kejadian di mana Selangor turut menyumbang barangan keperluan asas kepada mangsa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.