ad
AGENDA

Aidiladha: Aliran trafik di lebuh raya utama perlahan sejak pagi

9 Jul 2022, 4:29 AM
Aidiladha: Aliran trafik di lebuh raya utama perlahan sejak pagi

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Aliran trafik di lebuh raya utama dari ibu kota menghala ke utara, timur dan selatan negara dilaporkan tinggi sejak pagi ini susulan orang ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha esok.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi berkata peningkatan kenderaan di lebuh raya bermula sejak 6 pagi dijangka berlarutan sehingga tengah malam.

Menurutnya pihak lebuh raya juga menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan polis bantuan di plaza tol yang dikenal pasti kawasan ‘hotspot’ berlaku kesesakan.

"Anggota Rela ditempatkan bagi membantu pengguna tol sekiranya kad mengalami masalah manakala polis bantuan akan menggunakan motosikal untuk meninjau lalu lintas yang sesak di hadapan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, LLM melaporkan aliran trafik perlahan ke arah Pantai Timur sebelum dan selepas Plaza Tol Gombak menuju ke Bukit Tinggi.

Di Lebuhraya Pantai Timur, aliran trafik perlahan sejauh 5.3 kilometer dari Lancang ke Temerloh.

Trafik juga perlahan di Lebuhraya Plus arah utara dari Sungai Dua ke Plaza Tol Sungai Dua dan dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang ke Sungai Buaya.

Arah selatan pula, trafik perlahan dari Putra Mahkota ke R&R Seremban, Senawang ke Pedas Linggi serta Bukit Gambir ke Pagoh.

Selain itu, trafik di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) turut bergerak perlahan dari Bandar Serenia ke Nilai.

Kenderaan juga dilaporkan bergerak perlahan di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) selepas Tuas, Singapura ke Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor.

Tinjauan Bernama di tiga plaza tol iaitu di Gombak, Sungai Besi dan Jalan Duta mendapati berlaku pertambahan kenderaan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik .

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.