ad
AGENDA

Program untuk rakyat Selangor berteras kefahaman, nilai kemanusiaan

2 Jul 2022, 3:43 PM
Program untuk rakyat Selangor berteras kefahaman, nilai kemanusiaan

KUALA SELANGOR, 2 JULAI: Kerajaan Selangor mengambil kefahaman dan nilai kemanusiaan yang terkandung dalam al-Quran bagi pelaksanaan pelbagai program untuk rakyat sejak dahulu sehingga kini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata nilai itu harus diangkat dalam setiap inisiatif direncana sebagai bukti kepedulian dan keprihatinan terhadap segenap lapisan masyarakat.

“Ketika ini kita sedang laksana pelarasan atau penambahan baharu dalam program sedia ada. Ia bukan sekadar program untuk memenuhi keperluan dan permintaan rakyat, tetapi terkandung dengan semangat yang ada dalam al-Quran.

“Anak yatim, orang miskin…ini tanggungjawab (kita untuk membantu). Bukan hanya tengok dan bersedih, tetapi mengeluarkan zakat dan hadiah kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berucap pada program bicara Khayra Ummah sempena Jelajah Selangor Penyayang di Masjid Nurul Iman, Batu 8, Ijok dekat sini malam ini. Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Terdahulu, Amirudin berkesempatan menunaikan solat Maghrib bersama ratusan jemaah di masjid berkenaan.

Pada masa sama, Amirudin turut mengajak jemaah supaya sentiasa melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran selain berpegang teguh pada ajaran Islam.

“Dalam pada kita menerapkan nilai kasih sayang dan kemanusiaan, hubungan dengan Allah perlu dijaga,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.