ad
AGENDA

Agong selesai jalani prosedur intervensi sendi buku lali, lutut

23 Jun 2022, 5:04 AM
Agong selesai jalani prosedur intervensi sendi buku lali, lutut

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selesai menjalani prosedur intervensi sendi buku lali dan lutut dan kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata prosedur berkenaan dijalankan Isnin lepas.

“Ekoran prosedur intervensi tersebut, Seri Paduka telah selanjutnya dinasihatkan untuk menjalani pemantauan dan pengawasan rapi pakar perubatan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara hujung minggu ini setelah selesai menjalani rawatan pemantauan dan pengawasan rapi tersebut.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan Seri Paduka.

Baginda dilapor menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital kerana gering di bahagian kaki sejak Isnin lepas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.