HULU LANGAT, 20 JUN: Kerajaan Negeri melancarkan program Iltizam Selangor Sihat (ISS) di Jelajah Selangor Penyayang di Padang Taman Kosas, Ampang semalam.
EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata program yang dijenamakan semula daripada Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) itu memperuntuk sejumlah RM55.5 juta.
"Kerajaan Negeri memperluaskan sasaran ISS kepada 100,000 penerima dengan beberapa penambahbaikan dilakukan termasuk aspek syarat kelayakan, jenis manfaat dan tempoh sah laku kad.
"Ahli ISS yang layak boleh menuntut manfaat berjumlah RM6,000 iaitu RM5,000 bagi khairat kematian serta RM1,000 bagi kos pengebumian," katanya dalam ucapan majlis pelancaran tersebut.
Dr Siti Mariah berkata kuota bagi ISS kira-kira 16,500 penerima bagi setiap daerah dan ia masih terbuka serta boleh dimohon di pusat khidmat masyarakat berhampiran.
Beliau menjelaskan syarat kelayakan permohonan ISS adalah individu tersebut mesti rakyat Selangor berpendapatan kurang RM3,000 sebulan, keutamaan diberi kepada penghidap penyakit kronik serta keluarga yang mempunyai isi rumah ramai.
"Keluarga dan individu yang layak boleh membuat tuntutan manfaat seperti kematian, kemalangan dengan kecatatan, penyakit kritikal dan pengebumian.
"Kuota di setiap dewan undangan negeri (DUN) masih dibuka dan kita mengalu-alukan rakyat di negeri ini untuk memohon atau cadangkan kepada rakan mahupun saudara-mara yang ada sakit kronik untuk memohon inisiatif ini," katanya.