ad
AGENDA

Sultan kagum sifat Lee Lam Thye, suka tolong rakyat tanpa mengira bangsa

16 Jun 2022, 10:10 AM
Sultan kagum sifat Lee Lam Thye, suka tolong rakyat tanpa mengira bangsa

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa kagum dengan kebolehan dan kredibiliti Tan Sri Lee Lam Thye sepanjang menjadi wakil rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah aktivis berkenaan sanggup turun padang dan sentiasa bersedia mendengar masalah serta keluhan masyarakat.

Titah baginda, nama Lam Thye juga sinonim dengan sifat mulia dan suka menolong sesiapa dalam kesusahan malah dikenali semua kaum dan bangsa.

“Beliau membantu rakyat dalam apa sahaja cara. Beliau merupakan YB (yang berhormat) sebenar, yang bekerja dan yang berkhidmat.

“Tiada guna jadi YB dengan gelaran yang berhormat tetapi tidak menjalankan tugas dengan baik, hanya bercakap sahaja dan pentingkan diri sendiri,” titah tuanku ketika merasmikan buku biografi Lam Thye bertajuk 'Call Lee Lam Thye-Recalling a Lifetime of Service' di sini, hari ini.

DYMM tuanku bertitah baginda bangga dengan sikap Lam Thye yang masih berkhidmat kepada rakyat meskipun tidak terlibat dengan dunia politik.

“Beliau bukan hanya membantu orang dalam kesusahan sebaliknya mengambil berat tentang haiwan jalanan dan terbiar sehingga menjadi penaung Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA).

“Isteri beta Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Penaung Diraja program Stray Free Selangor sering memuji usaha Lam Thye menjaga kebajikan haiwan terbiar,” titah baginda.

Buku hasil tulisan Sofea Chok Suat Ling dan P Selvarani menceritakan pengalaman peribadi aktivis berkenaan sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam selain menyertai pelbagai organisasi.

Setebal 312 muka surat, naskah dihasilkan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandrin dan dijual di kedai buku atau dalam talian antara RM50 hingga RM70, mulai hari ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.