ad
AGENDA

Majlis penasihat awam bantu Selangor lindungi kesihatan penduduk lebih efektif

15 Jun 2022, 1:10 AM
Majlis penasihat awam bantu Selangor lindungi kesihatan penduduk lebih efektif

SHAH ALAM, 15 JUN: Majlis Penasihat Kesihatan Awam Selangor (Selphac) ditubuhkan sebagai salah satu langkah proaktif melindungi rakyat negeri ini menerusi sistem kesihatan awam dengan lebih efektif.

Dato' Menteri Besar berkata majlis itu akan memacu idea-idea baharu supaya langkah pengukuhan direncana sebaiknya.

"Berbekal pengalaman pentadbiran dan pengurusan ketika pandemik Covid-19, Selangor yakin untuk mengorak kejayaan serta mencorak masa depan yang lebih baik.

"Semoga inisiatif ini melindungi masa depan kita bersama," kata Dato' Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Amirudin menjelaskan keanggotaan Selphac turut mengumpulkan pelbagai latar belakang supaya pelaksanaan bersifat menyeluruh dan bersasar.

"Inisiatif ini selari dengan hasrat Kementerian Kesihatan yang menekankan pembentukan Jawatankuasa Agenda Nasional Malaysia Sihat di peringkat negeri," katanya.

Selphac dianggotai 15 ahli terdiri daripada pemimpin negeri, agensi pelaksana utama, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pakar perubatan pelbagai bidang dan ahli akademik.

Turut menganggotainya ialah mantan ahli Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19, wakil kesihatan sektor industri, wakil persatuan perubatan Malaysia dan wakil persatuan pakar kesihatan awam.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.