SHAH ALAM, 14 JUN: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan tahniah atas pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata permasyhuran itu berlangsung pada Istiadat Konvokesyen Ke-93 di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), hari ini.
"Merafak sembah tahniah dan ucapan selamat ke atas Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sempena permasyhuran sebagai Pro-Canselor UiTM pada Istiadat Konvokesyen Ke-93 di Dewan Agong Tuanku Canselor," katanya di Facebook.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Canselor UiTM hari ini berkenan mewasalkan pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.
Pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu bagi tempoh 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024.
Al-Sultan Abdullah dalam titahnya menzahirkan rasa bertuah dan berbesar hati untuk menyempurnakan pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.
Titah baginda pemasyhuran itu amat bertepatan kerana UiTM sebuah universiti yang mempunyai nilai warisan sejarah yang sarat ikatan pertalian dengan Selangor.