ad
AGENDA

Merokok sekitar KLIA, 788 notis kompaun dikeluar libat jumlah RM196,400

14 Jun 2022, 3:47 AM
Merokok sekitar KLIA, 788 notis kompaun dikeluar libat jumlah RM196,400

SHAH ALAM, 14 JUN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengeluarkan 788 notis kesalahan merokok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kompaun berjumlah RM196,400.

Pengarahnya memaklumkan siri pertama Ops Terbang KLIA pada 11 dan 12 Jun mengesan 708 kesalahan merokok di kawasan lapangan terbang manakala 61 kesalahan sekitar kompleks membeli-belah.

Menurut Dato' Indera Dr Sha'ari Ngadiman, 16 notis bagi lain-lain kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan tiga lagi membabitkan individu umur bawah 18 tahun.

"KLIA merupakan laluan udara terbesar dan salah satu pintu masuk utama antarabangsa di Malaysia. Mengikut Peraturan 11(1) (g) PPKHT, lapangan terbang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

"Bagi KLIA, kawasan larangan merokok merangkumi keseluruhan kawasan berbumbung meliputi bangunan terminal." katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata setiap kesalahan dikeluarkan notis kehadiran mahkamah dan ditawar kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan merokok di kawasan larangan manakala RM50 jika pesalah orang belum dewasa.

Dr Sha'ari menegaskan tindakan pendakwaan mahkamah akan diambil jika individu diberi notis tidak menjelaskan kompaun ditawarkan dalam tempoh ditetapkan.

"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun," katanya lagi.

Terdahulu, operasi bagi melindungi orang awam daripada bahaya kesan asap rokok dijalankan 142 pegawai yang diberi kuasa terdiri pegawai kesihatan persekitaran, penolong pegawai kesihatan persekitaran, polis dan polis bantuan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.