ad
AGENDA

HARAPAN akan temu PM, mahu RUU antilompat dibahas bulan depan

13 Jun 2022, 9:01 AM
HARAPAN akan temu PM, mahu RUU antilompat dibahas bulan depan

SHAH ALAM, 13 JUN: Pakatan Harapan (HARAPAN) kecewa dengan kegagalan kerajaan memanggil sidang khas Dewan Rakyat untuk membentang rang undang-undang (RUU) antilompat parti.

Meskipun begitu, Majlis Presiden HARAPAN berharap RUU tersebut dapat dibentang, dibahas dan diluluskan pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang bermula 18 Julai depan.

“Dengan meluluskan RUU ini, maka 15 dari 18 perkara dalam memorandum persefahaman (MoU) di antara HARAPAN dan kerajaan persekutuan akan tercapai, bersamaan dengan 83 peratus.

“Tiga perkara MoU yang masih perlu dilaksana adalah menetapkan had dua penggal atau 10 tahun bagi perdana menteri, membentang RUU perkhidmatan Parlimen dan meminda peraturan-peraturan mesyuarat Dewan Rakyat,” menurut kenyataan bersama.

Kenyataan itu dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohammad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menurut kenyataan itu, pimpinan utama HARAPAN akan mengadakan pertemuan segera dengan perdana menteri bagi membincang RUU antilompat parti serta perkara yang terkandung dalam MoU.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.