ad
AGENDA

Selangor bakal anjur karnival kerjaya khas sektor pelancongan, perhotelan

11 Jun 2022, 3:32 PM
Selangor bakal anjur karnival kerjaya khas sektor pelancongan, perhotelan

SHAH ALAM, 11 JUN: Karnival kerjaya khusus untuk sektor pelancongan dan perhotelan bakal diadakan pada suku ketiga tahun ini bagi menampung kira-kira 6,000 kekosongan sumber tenaga.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya mendapat permintaan daripada pemain industri termasuk hotel bajet yang kekurangan tenaga kerja ketika ini.

“Permintaan ini dari pemilik seluruh hotel di Selangor. Mereka kekurangan pekerja selepas sektor terhenti akibat pandemik Covid-19.

“Kita sudah minta pegawai teliti program ini selain akan jalin kerjasama dengan EXCO pelancongan bagi menaikkan semula industri ini,” katanya selepas meninjau Karnival Kerjaya Mega 2022 hari ini.

Program dua hari sehingga esok yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini menawarkan lebih 20,000 peluang kerja.

Lebih 100 syarikat mengambil bahagian antaranya Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Tidak ketinggalan Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.