ad
BERITA UTAMA

EXCO: Belia Insani bantu perkasa kemahiran pelajar tahfiz

7 Jun 2022, 11:00 AM
EXCO: Belia Insani bantu perkasa kemahiran pelajar tahfiz

SHAH ALAM, 7 JUN: Kerajaan Negeri akan menubuhkan unit Belia Insani (Bina) yang memberi tumpuan kepada pelajar tahfiz di seluruh Selangor.

EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata penubuhan Bina bertujuan menarik penyertaan pelajar tahfiz dalam pelbagai kegiatan anjuran Kerajaan Negeri seperti Penggerak Belia Selangor (PeBS).

"Kita cadangkan antara pengisian yang akan dilakukan adalah penganjuran pertandingan e-sukan dan program muzikal Qasidah bersama pelajar tahfiz seluruh Selangor.

"Tujuannya adalah kerana kita mahu membuang persepsi bahawa pelajar tahfiz hanya belajar al-Quran semata-mata sebaliknya mereka juga terlibat sama dalam perkembangan teknologi masa kini seperti e-sukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis santuni pelajar tahfiz dan sumbangan wakaf al-Quran di Maahad Tahfiz An-Nur (MATAN) di Taman Puchong Intan di sini hari ini.

Mengulas megenai penubuhan Bina, Mohd Khairuddin berkata pihaknya menjangkakan ia akan dilaksanakan sekitar Julai atau Ogos ini.

"Kita sudah rangka pengisian program di bawah Bina ini, insya-Allah Julai atau Ogos ini kita akan lancarkannya," katanya lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.