ad
BERITA UTAMA

ADN Taman Templer mudah dekati anak muda, gigih tingkat kualiti prasarana

6 Jun 2022, 12:00 AM
ADN Taman Templer mudah dekati anak muda, gigih tingkat kualiti prasarana
ADN Taman Templer mudah dekati anak muda, gigih tingkat kualiti prasarana
ADN Taman Templer mudah dekati anak muda, gigih tingkat kualiti prasarana

Kecenderungan terhadap politik yang tercetus selepas tamat pengajian sekitar 1990-an menjadikan Mohd Sany Hamzan mahir asam garam bidang itu pada usia muda.

Meskipun berdepan laluan berliku pada awal pembabitan, beliau tidak berputus asa hingga diberi kepercayaan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Sepenggal berkhidmat, pemimpin berusia 43 tahun itu kian dikenali dan lantang menyuarakan isu rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS). Wartawan Siti Rohaizah Zainal mengupas lebih lanjut.

Difahamkan YB meminati politik sejak bergelar pelajar, boleh ceritakan lanjut?

Selepas tamat belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya terlibat dalam politik dan berhubung kait dengan peristiwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri. Sebelum itu memang saya minat dalam politik, mula ambil tahu soal pilihan raya pada 1990. Malah, pada 1995 juga terlibat dengan program pilihan raya tetapi tidak menjadi ahli mana-mana parti, sekadar ikut kawan-kawan. Pada 1999, saya bergerak aktif dalam pilihan raya di Hulu Langat, tempat kelahiran saya. Ketika itu, usia saya 20 tahun dan menjadi ahli PAS.

Saya banyak bergerak dengan PAS peringkat cawangan dan DUN. Saya juga pernah diminta untuk memegang portfolio pengarah pilihan raya Dewan Pemuda PAS selama dua penggal sebelum dipecat dan menubuhkan Gerakan Harapan Baru 2015. Selepas itu, kita ambil alih parti bekerja Malaysia seterusnya ubah nama kepada Parti Amanah Negara (Amanah). Pada peringkat awal penubuhan Amanah, saya dilantik sebagai ketua pemuda seterusnya menang pada peringkat pemilihan bagi jawatankuasa pimpinan Amanah peringkat nasional. Kini saya diamanahkan sebagai pengarah biro mobilisasi Amanah peringkat nasional. Saya juga timbalan ketua Amanah kawasan Hulu Langat.

[caption id="attachment_524322" align="alignright" width="463"] Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan ketika melawat kerja pembaikan cerun di Kg Melayu Bt16, Rawang pada 2 Jun 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer[/caption]

Bilakah YB mula bertanding pada pilihan raya?

Nama saya mula naik untuk bertanding pilihan raya pada 2004 tetapi tidak berlaku disebabkan masalah teknikal. Pada 2008, buat kali pertama saya mula bertanding di DUN Dusun Tua tetapi kalah dan 2013 tidak bertanding. Pada 2018, saya bertanding semula di DUN Taman Templer setelah diarahkan parti.

Alhamdulillah, penduduk Taman Templer memberi sokongan atas nama Pakatan Harapan. Saya biasa dengan Taman Templer sebab ketika bersama dengan parti lama, ada dijemput beri ceramah tetapi hanya pergi di tempat yang diminta hadir sahaja. Pada awalnya, saya akui agak asing dan ganjil tetapi itu perkara biasa. Namun, sekarang ini saya sudah hadam seluruh lokasi di sini.

Apakah tumpuan ketika berkhidmat di DUN Taman Templer?

Pertama sekali, apabila bertanding kita hendak menang. Kemudian saya mahu beri perkhidmatan terbaik kepada masyarakat seterusnya bertanya kepada masyarakat apa-apa isu yang dihadapi serta yang perlukan perhatian. Sudah tentu di setiap kawasan ada masalahnya. Antara isu besar yang sampai sekarang bukan tiada tindakan tetapi melibatkan jangka panjang dan pendek serta halangan pula melibatkan kewangan. Contohnya, kesesakan lalu lintas dari Selayang ke Rawang menerusi Amansiara. Setiap kali sidang DUN saya bawa isu ini. Cuma untuk melebarkan jalan memerlukan belanja hampir RM60 juta. Saya juga hantar memorandum kepada perdana menteri supaya proses melebarkan jalan dilakukan segera.

Selain itu, isu banjir anak Sungai Udang melibatkan proses pelebaran pada fasa pertama yang telah selesai. Fasa dua belum bermula sebab melibatkan kos dan pemindahan hak milik tanah. Untuk jangka pendek, Jabatan Pengairan dan Saliran banyak membantu dari segi korek pasir, buang sampah dan buat kerja bagi kelancaran air ke sungai. Saya berharap dapat selesai segera supaya tiada masalah dan elak banjir kilat dari terus berlaku.

Boleh kongsi antara isu yang berjaya diselesaikan?

Antara yang berjaya diselesaikan khususnya di Kampung Selayang Baru dan Selayang Pandang ialah isu bekalan air. Dahulu memang kerap berlaku paip pecah tetapi kebanyakan paip sudah diganti. Selain itu, projek rumah terbengkalai belasan tahun iaitu Apartment Kristal pun sudah dapat kelulusan dari Kerajaan Negeri dan persekutuan untuk dibaik pulih. Projek naik taraf kolam air panas juga diluluskan sebanyak RM4 juta kerana ia salah satu destinasi pelancongan di DUN Taman Templer.

Seterusnya, kita dapat peruntukan hampir RM5 juta untuk pembinaan dewan orang ramai di Bandar Baru Selayang dan dimaklumkan pejabat tanah serta Majlis Perbandaran Selayang sudah ada kelulusan. Jika dewan ini dibina, ia memberi manfaat kepada penduduk untuk buat majlis atau anjur program anak muda. Kita juga guna peruntukan Ahli Dewan Negeri untuk membaiki gelanggang sukan khusus untuk anak muda di Kampung Selayang Pandang, Kampung Selayang Indah, Apartment Selayang Mulia dan naik taraf padang bola sepak di Kampung Melayu Batu 16. Tambahan daripada itu, kita sedang dalam proses menaik taraf Masjid Kampung Selayang Pandang dan Surau al-Furqan selain pembinaan masjid baharu di Taman Selayang Mutiara. Turut diberi perhatian, baik pulih sekolah rendah dan menengah.

Bagaimana pula program atau bantuan negeri di DUN Taman Templer?

Kerajaan Negeri peruntuk hampir RM500 juta daripada belanjawan RM2.3 bilion setahun bagi program kebajikan, antara terbesar berbanding negeri lain. Semua bantuan diberi kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama mahupun parti politik. Begitu yang saya amalkan di sini. Bantuan diagih kepada mereka yang layak.

Apakah bantuan yang disediakan sepanjang pandemik Covid-19?

Memang banyak bantuan diberi dan tiada penduduk yang terlepas pandang. Penduduk disaran memaklumkan pusat khidmat masyarakat atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) supaya kita dapat bantu. Malah, saya juga letakkan nombor telefon sendiri sekiranya mereka memerlukan bantuan. Saya juga beri nombor telefon ketika dalam program yang dihadiri.

Apakah cabaran ketika berhadapan dengan penduduk?

Kita dekat dengan pasar borong dan ramai warga asing. Bukan kita hendak menuduh tetapi Malaysia menuju negara maju. Antara masalah besar ialah berkaitan sampah. Penekanan dibuat ialah kebersihan untuk beri keselesaan kepada masyarakat. Kebersihan tanggungjawab bersama dan diwarisi generasi akan datang. Setiap hari saya buat rondaan dengan agih bantuan Ziarah Kasih iaitu lawat orang kelainan upaya, warga emas, ibu tunggal. Kebersihan ini melibatkan kesedaran sivik dan integriti.

Masuk sedikit isu politik, bagaimana YB dekati pengundi muda?

Di Selangor, ada badan dikenali sebagai Penggerak Belia Selangor yang memiliki jawatankuasa dan program sendiri selain pejabat DUN juga menitik berat program anak muda berbentuk sukan, kebudayaan, permotoran dan pendidikan. Kita ada program sendiri, contohnya pelajar cemerlang kita beri penghargaan dan program motivasi. Untuk wanita pula, kita ada Pusat Wanita Berdaya yang gerakkan program bagi golongan tersebut. Alhamdulillah, saya juga turun ke lapangan dan menyantuni anak-anak muda di DUN Taman Templer melalui program dan aktiviti kunjung hormat. Golongan muda kita santuni dengan menjaga kebajikan kerana anak muda juga terjejas. Selain itu, ada juga program Jom Cari Kerja selain ia banyak membantu anak muda dengan bantuan keperluan perniagaan yang mereka minat. Kita galakkan kerana ada anak muda yang mahu mengusahakan perniagaan sendiri dan tidak minat bekerja dengan orang.

[caption id="attachment_524321" align="alignleft" width="433"] Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan ketika menghadiri majlis ramah mesrta Pemanah Nur Al Syura di Lapang Sasar BBS 2B pada 21 Mei 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer[/caption]

Komen mengenai YB dikenali sebagai antara yang lantang dalam sidang DNS?

Saya boleh berpidato dan kelebihan diberi Allah SWT. Sidang DNS antara wadah wakil rakyat untuk menyampaikan hasrat dan keperluan masyarakat melalui komunikasi. Sesetengah orang mempunyai cara tersendiri dan inilah cara Taman Templer menyuarakan isu setempat termasuk berkaitan nasional yang menyentuh keperluan ADN. Contohnya, isu rasuah, banjir atau tanah runtuh.

Jika diberi mandat sekali lagi dalam pilihan raya, adakah YB yakin kekal menjadi wakil rakyat?

Saya ikut arahan parti. Jika mereka mahukan saya bertanding, saya bertanding. Setakat ini, alhamdulillah penduduk semakin mengenali saya berbanding peringkat awal saya menjadi wakil rakyat. Ini kerana saya sendiri turun padang untuk beri perkhidmatan kepada masyarakat dan berjumpa dengan mereka. Setiap hari saya ada program ziarah dan berada di kawasan jika tiada program parti. Memang mudah untuk berjumpa saya di lokasi masyarakat kecuali ketika saya sakit kaki selama dua tahun.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.