ad
AGENDA

PM lawat Pavilion Selangor, puji PPAS sedia kelas 14 bahasa asing

5 Jun 2022, 11:45 AM
PM lawat Pavilion Selangor, puji PPAS sedia kelas 14 bahasa asing

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini semalam.

Kehadiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditemani Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.

Mastura berkata pemimpin nombor satu negara itu memuji inisiatif PPAS melaksanakan inisiatif pembelajaran 14 bahasa asas dari pelbagai negara secara dalam talian dengan bayaran serendah RM10 sejam.

"Beliau bertanya mengapa dan bagaimana kita buat inisiatif itu. Saya maklumkan kepada beliau, jika masyarakat kita mampu kuasai banyak bahasa ia akan menjadikan mereka lebih versatil.

"Beliau begitu tertarik, apatah lagi bayaran dikenakan agak murah dan kelas ini dibimbing tutor profesional. Saya turut cadangkan kepada beliau supaya fokus terhadap perkara ini kerana penguasaan bahasa membolehkan seseorang itu pergi lebih jauh," katanya kepada Selangorkini.

Selain ruang Language Discovery@Selangor Public Library, Ismail Sabri turut melawat rerurai beberapa agensi Kerajaan Negeri yang lain seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), Yayasan Selangor dan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.