ad
AGENDA

Selangor Saring kesan individu disyaki hidap barah, ujian lanjut sahkan penyakit

3 Jun 2022, 1:24 PM
Selangor Saring kesan individu disyaki hidap barah, ujian lanjut sahkan penyakit

SHAH ALAM, 3 JUN: Pemeriksaan kesihatan Selangor Saring yang dijalankan sejak 22 Mei mengesan penyakit kronik melibatkan segelintir peserta.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahkud berkata berdasarkan keputusan ujian, ada peserta disyaki menghidap penyakit seperti barah, namun belum dapat disahkan sepenuhnya.

“Keputusan ini akan dirujuk kepada hospital dan pakar. Peserta perlu menjalani ujian lebih lanjut untuk mengesahkan penyakit dihidapi.

“Inilah tujuan Selangor Saring, kita mahu bantu penduduk mengesan sakit kronik supaya rawatan dapat dilakukan lebih awal,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program yang dijalankan hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Esok  program percuma itu diadakan di Dewan Serbaguna Bernam Jaya, Hulu Bernam manakala Ahad berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yoke Kuan, Sekinchan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.