ad
AGENSI

Lebih 100 pengayuh basikal meriahkan kempen 'Smart Cycling'

29 Mei 2022, 10:05 AM
Lebih 100 pengayuh basikal meriahkan kempen 'Smart Cycling'

SHAH ALAM, 29 MEI: Lebih 100 pengayuh basikal hadir menyokong dan memeriahkan kempen 'Smart Cycling' yang diadakan di Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Pengarah Kempen Muhammad Syazwan Mohd Daut berkata mereka terdiri daripada 20 komuniti basikal amatur, semi-profesional dan profesional dari seluruh Selangor.

"Program julung kali ini bertujuan meraikan golongan terbabit selain berkongsi tips keselamatan ketika berkayuh yang mungkin ramai kurang ambil peduli.

"Kita yakin kempen ini diteruskan untuk berkongsi ilmu dan panduan kayuhan demi melahirkan lebih ramai pengayuh profesional," katanya kepada SelangorKini.

Kempen anjuran Selangor Youth Community (SAY) julung kali diadakan itu turut dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Muhammad Syazwan berkata turut dilancarkan buku 'Smart Cycling Handbook' yang mana orang awam boleh mengimbas kod QR untuk mendapatkan panduan dan tips dalam membuat persediaan kayuhan.

"Menerusi buku itu kita boleh tahu antara peralatan yang perlu disediakan termasuk perkara yang boleh atau tidak ketika memulakan aktiviti kayuhan.

"Seperti kita tahu ramai sebenarnya individu yang mahu berbasikal tetapi mereka kurang maklumat bagaimana untuk mula. Justeru, kita harap dengan adanya buku panduan ini ia sedikit sebanyak membantu," katanya.

Kempen Smart Cycling itu dibiayai oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan turut mendapat kerjasama strategik Malaysian National Cycling Federation (MNFC), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Darul Ehsan Facilities Management (DEFM).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.