ad
AGENDA

Elak buta, penghidap diabetes disaran periksa mata setahun sekali

28 Mei 2022, 8:37 AM
Elak buta, penghidap diabetes disaran periksa mata setahun sekali

SABAK BERNAM, 28 MEI: Penghidap diabetes mampu terhindar daripada buta sekiranya melakukan pemeriksaan mata setahun sekali, kata pakar.

Mengakui tahap kesedaran masih rendah, Dr Kewaljit Singh berkata lima daripada 100 pesakit kronik di negara ini berisiko hilang penglihatan jika tidak mengambil langkah sedemikian.

“Kita cadangkan mereka berjumpa pakar di klinik kesihatan atau hospital yang memiliki kamera fundus untuk berbuat demikian setiap kali ulang tahun kelahiran.

“Sekurang-kurangnya kita boleh kesan tahap kesihatan mata sekali gus cegah daripada jadi buta,” katanya ditemui pada program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak di Pusat Konvensyen Hotel dan Mini Grand Sabak dekat sini hari ini.

Pemeriksaan mata meliputi rabun, glaukoma dan retina antara yang ditawarkan dalam program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri melalui Selgate Healtcare Sdn Bhd.

Dalam pada itu, doktor dari Pusat Pakar Mata Subang menyeru penghidap diabetes dan individu berusia 40 ke atas memanfaatkan peluang tersebut kerana pemeriksaan hanya mengambil masa kurang 10 minit.

“Individu terbabit menjalani saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) terlebih dahulu sebelum petugas menentukan sama ada mereka perlu buat pemeriksaan mata atau sebaliknya.

“Selepas pemeriksaan, kita akan beri nasihat dan didikan sewajarnya kepada individu dikesan mempunyai masalah tertentu,” katanya menambah tiga daripada 10 penghidap diabetes berpotensi buta hasil saringan berkenaan hari ini, namun belum menunjukkan kesan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.