SHAH ALAM,25 MEI: Aplikasi pelancongan Go Selangor menawarkan pakej lebih murah berbanding perkhidmatan lain atau kaunter untuk membuat tempahan.
Pengurus komunikasi korporat Tourism Selangor berkata tawaran harga istimewa kepada pelancong adalah sebahagian daripada pakej tersebut bagi mempromosikan lokasi menarik di negeri ini.
“Sejak diperkenalkan, seramai 1,300 pengguna sudah menggunakan aplikasi ini dan antara yang mendapat sambutan taman tema serta hotel,” kata Ahmad Nazri Tashriq Rahmat kepada Selangorkini.
Tambah beliau, setakat ini kira-kira 3,000 operator pelancongan sudah berdaftar dan aktif menggunakan aplikasi tersebut.
“Aplikasi ini diuruskan syarikat Tourplus dengan dibantu Tourism Selangor. Kita sentiasa berusaha dalam mempromosikan lokasi menarik dengan tawaran istimewa.
“Di samping itu, kita juga sedang merangka strategi untuk menguar-uarkan aplikasi ini kepada pengguna,” katanya.
Kerajaan Negeri membangunkan aplikasi pelancongan negeri Go Selangor bagi memudahkan pengembara dari seluruh dunia mendapat akses berkaitan produk pelancongan negeri.
Dibangunkan dengan hasil kerjasama syarikat pemula tempatan Tourplus Technology yang menelan kos RM3 juta itu selari usaha pendigitalan pelancongan Selangor.
Aplikasi ini menjadi pusat sehenti untuk menggalakkan semua pelancong datang ke Selangor dengan membolehkan membuat tempahan tiket, hotel, chalet, inap desa dan pengangkutan dengan mudah.